SEKOLAH KEBANGSAAN AIR KUNING SELATAN
GEMENCHEH, NEGERI SEMBILAN
Mukmin yang sejati sememangnya adalah dermawan.
والصدقة تطفىء الخطيئة كما تطفىء الماء النار
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.”
Hadis Riwayat At-Tirmidzi, 614
Sebagaimana hadis ini, amalan yang boleh menghapuskan dosa adalah bersedekah.
Tidaklah sedekah itu menjadi sia-sia kerana akan dihapuskan dosa-dosa dilakukan Muslim dan muslimat.
Tahukah anda di syurga terdapat sebuah pintu istimewa untuk golongan yang bersedekah ini?
Sesungguhnya terlalu banyak kelebihan bersedekah yang boleh dijadikan dorongan untuk memberi lagi dan lagi. Malah dalam hadis ini, ada disebut infak harta sebanyak dua kali di jalan Allah, akan diseru namanya untuk ke pintu syurga khas ini.
Hadis lengkapnya adalah:
“Sesiapa yang berinfak (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang banyak melakukan solat maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.”
Riwayat Al-Bukhari – 1897 dan Muslim – 1705
PROGRAM INFAQ BAGI TUJUAN
PEMBANGUNAN PRASARANA, KECERIAAN,
KEBAJIKAN DAN KEMUDAHAN SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Air Kuning Selatan merupakan sekolah luar bandar yang mempunyai seramai 138 orang pelajar serta dengan kekuatan 16 orang guru dan 3 orang staf . Dari segi kemudahan, sekolah ini dilihat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah berhampiran dan situasi ini amat mendukacitakan kerana dalam era PAK 21 serta Pendigitalan ini,masih terdapat sekolah-sekolah yang belum bersedia sepenuhnya ke arah yang diinginkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Untuk makluman, sekolah ini juga turut dipilih sebagai salah sebuah sekolah dalam Program Transformasi Sekolah (TS25).Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Melalui TS25 adalah diharapkan sekolah yang terlibat berupaya mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025.
Program Infaq ini merupakan salah satu usaha pihak sekolah dalam mencari dana bagi tujuan pembangunan sekolah seperti yang dinyatakan di atas bagi menjadikan sekolah kami lebih kondusif bagi anak-anak belajar.
Berikut adalah keadaan semasa yang kami hadapi dan pastinya semua ini memerlukan jumlah wang yang besar bagi membaikpulih dan menceriakan kembali sekolah ini. Selain daripada kutipan ini, pihak kami juga berusaha membaikpulih kerosakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah serta komuniti setempat.