SEKOLAH KEBANGSAAN AIR KUNING SELATAN
GEMENCHEH, NEGERI SEMBILAN
Mukmin yang sejati sememangnya adalah dermawan.
والصدقة تطفىء الخطيئة كما تطفىء الماء النار
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan
api.”
Hadis Riwayat At-Tirmidzi, 614
Sebagaimana hadis ini, amalan yang boleh menghapuskan dosa
adalah bersedekah.
Tidaklah sedekah itu menjadi sia-sia kerana akan dihapuskan
dosa-dosa dilakukan Muslim dan muslimat.
Tahukah anda di syurga terdapat sebuah
pintu istimewa untuk
golongan yang bersedekah ini?
Sesungguhnya terlalu banyak kelebihan bersedekah yang boleh
dijadikan dorongan untuk memberi lagi dan lagi. Malah dalam hadis ini, ada
disebut infak harta sebanyak dua kali di jalan Allah, akan diseru namanya untuk
ke pintu syurga khas ini.
Hadis lengkapnya adalah:
“Sesiapa yang
berinfak (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah maka dia akan diseru untuk
masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa
yang banyak melakukan solat maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui
pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu
jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu
puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu
sedekah.”
Riwayat Al-Bukhari – 1897 dan Muslim – 1705
PROGRAM INFAQ BAGI TUJUAN
PEMBANGUNAN PRASARANA, KECERIAAN,
KEBAJIKAN DAN KEMUDAHAN SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Air Kuning Selatan merupakan sekolah luar
bandar yang mempunyai seramai 138 orang pelajar serta dengan kekuatan 16 orang
guru dan 3 orang staf . Dari segi kemudahan, sekolah ini dilihat jauh
ketinggalan jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah berhampiran dan situasi
ini amat mendukacitakan kerana dalam era PAK 21 serta Pendigitalan ini,masih
terdapat sekolah-sekolah yang belum bersedia sepenuhnya ke arah yang diinginkan
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Untuk makluman, sekolah ini juga turut dipilih sebagai salah
sebuah sekolah dalam Program Transformasi Sekolah (TS25).Program Transformasi
Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan
Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Melalui TS25 adalah diharapkan sekolah yang
terlibat berupaya mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan
dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari
dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013 – 2025.
Program Infaq ini merupakan salah satu usaha pihak sekolah
dalam mencari dana bagi tujuan pembangunan sekolah seperti yang dinyatakan di
atas bagi menjadikan sekolah kami lebih kondusif bagi anak-anak belajar.
Berikut adalah keadaan semasa yang kami hadapi dan pastinya semua ini memerlukan jumlah wang yang besar bagi membaikpulih dan menceriakan kembali sekolah ini. Selain daripada kutipan ini, pihak kami juga berusaha membaikpulih kerosakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah serta komuniti setempat.